8 August 2021

catatan perjalanan


 

Apa yang kau cari wahai sahabat?

 



Setiap petang engkau datang bertandang
ke pelabuhan tinggal ini
Sudah tiada lagi hirup pikuk pelaut
sudah tiada lagi riuh serombong kapal yang singgah
sudah tiada lagi camar yang terbang datang
mengharap lebihan ikan sang nelayan

Pelabuhan ini pun sudah usang sekali
Jeti yang sudah mereput tidak dapat lagi berdiri
berkeriut ditiup angin yang lalu
sudah terlalu tua untuk memberi sebarang faedah kepada sesiapa
hanya kenangan tentang kemegahan
Waktu yang berlalu meninggalkan semua

Catatan Perjalanan

 


Ingin sekali ku mendengarkan perkhabaran mu

wahai pengembara
tentang pertualangan mu mencari erti
kehidupan

Sudah bisakah kau temui jejak jekak pencarian
khazanah dan kunci
yang bisa memberi kehidupan abadi
Sudahkah kau temui hakikat pencarian diri
tentang wujud mutlak dan wujud majazi
tentang kewujudan yang tiada
tentang mimpi kehidupan

Sudahkah temui air maul hayati
yang bakal memberi mu kebahagian hakiki
atau tentang tiada mati yang bakal menghampiri
Apakah bisa kau titipkan
tentang kehidupan yang sering menipu ini
tentang harapan yang tiada titik akhir
tentang pencarian yang tiada penghujung
tentang hidup yang penuh keliru
tentang keinginan yang tidak mampu tergapai

pelabuhan mu tiada di hujung dunia
pelabuhan mu hanya wujud didalam hati
pelabuhan itu seperti selalu

Bicara Sepi

 


Seringkali dia bertandang

ke rumah yang usang dan terbiar ini
sekalipun tiada sesiapa lagi yang menghuni
pondok tinggal yang hampir menyembah bumi
bukan ada sesiapa yang dicari
kerana tiada apa lagi yang membawa erti kini

Dia amat mengerti hakikat itu
Namun tetap ia bertandang bila ada waktu
Kerana hanya dia yang tahu
nilai semua yang telah berlalu
Dia tak mampu memutar kembali waktu

Menyusuri lorong-lorong
yang pernah melakar warna bahagia
satu titik dalam kehidupan yang panjang
ada cinta yang mewarnai hati
ada pelangi indah yang membalut janji
Hanya senyum yang difahami diri

kala hidup tiada memberi pilihan
untuk memilih kehidupan
saat takdir memberi gurauan tragis
merentap kejam angan dan azam

kini dia kembali
menyusuri lorong -lorong ini
mengimbau kembali memori
yang tersangkut dipohon mawar
yang penuh duri

Catatan rasa


indah sekali titipan mu itu

penuh kilasan makna
penuh kiasan tentang hidup
dalam saat begini belum termampu untukku
mencanai kata sedemikian indah
kehidupan mengejarku sehingga menjadikan aku lelah

sang penyair dalam diriku
sedang berdiam diri
barangkali sedang bertapa mencari bait-bait sedimikian mantap
namun belum ketemu olehnya

aku tahu kau punya cukup kekuatan
untuk menongkah hempasan ribut dan gelora lautan
semangat mu sewaja besi khursani
tanpa sorakan dan pujukkan pun kau mampu
meredah gelombang kehidupan yang payah ini

aku?
aku hanya teman bual bicara
bisikan ku hanya omongan tidur
emas yang sudah bertempa tidak perlu diulit lagi
kilauanya sudah menjangkau serata alam

demikian
kau akan meneruskan perjalanan mu
mencari arah dan hala tuju
yang selalu kau titipkan
lewat pertemua yang selalu
sebelum kau membuat keputusan
untuk melayari dunia
disebelah sana.

salam ku penuh kenangan
salam ku penuh pengertian
salam ku penuh doa dan pengharapan
semuga kau bahagia selalu

Datanglah

 

Datanglah dalam mimpiku sayang

barangkali esok Mentari akan menyinariku

walaupun semalaman sahaja

malam ini akan lebih bernilai dari seribu siang

 

datanglah dalam mimpiku sayang

usaplah rambutku, belailah pipiku

keringkanlah airmataku

limpahkanlah kewanitaanmu padaku

serlahkanlah kemanisanmu

kerna siang akan menjadi tusukan pedih didadaku

 

datanglah dalam mimpiku

kerna hanya disitu kau kan jadi milikku

peganglah tanganku yang using ini

getran cintamu akan menjadi penawar segala racun

 

datanglah dalam mimpiku sayang

aku telah terlalu letih di dalam jagaku.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Bingkisan

 

Malam ini

Ada bingkisan aku titipkan buatmu

Ku balut dengan rinduku

Ku ikat dengan tali-tali resah bersimpul mati

Yang hanya akan terurai oleh lembut kasih sucimu

 

Didalamnya adalah hatiku

Yang telah kau miliki lama dahulu

Terlukis sebuah sketsa rindu

Antara kau dan aku

Yang tertimbun dalam percintaan

Walau banyak detik-detik hidup

Memaksa kita menguraikan ikatan

Betapa akrabnya pertemuan

 

Utusan itu akan mendatangimu

Dengan hangat ucap salam

Dalam ceritatera mimpimu

 

Esok kan aku pasrah

Justeru semalaman kau lena bersamanya….hatiku.