14 April 2012

Mengecapi kebahagiaan rumahtangga

Mengecapi kebahagiaan rumahtangga
Dalam hidup berumahtangga ia ibarat mengharungi ombak di lautan yang pada ketikanya tenang dan ada ketikannya ia bergelora. Kerjasama dalam hidup berumahtangga amatlah penting bagi memastikan nahkoda yang dilayari terus kehadapan. Dalam hidup berumahtangga juga amat penting untuk setiap pasangan mengenali diri masing-masing dari masa ke semasa. Manusia mudah berubah mengikut peredaran zaman dan begitu juga pasangan yang berumahtangga haruslah peka pada perekembangan ini.

Jika diamati, faktor kebahagiaan dalam rumahtangga amat mementingkan sinergi antara kedua pasangan. Jika salah satunya menunjukkan tanda kelemahan dan tidak konsisten ia akan melumpuhkan kebahagiaan itu. Ada beberapa faktor yang harus diamati dan dititik beratkan iaitu:



Faktor pertama : Tahap komunikasi dengan pasangan anda

Jika komunikasi antara anda dan pasangan dalam keadaan tidak terurus dan teruk, hubungan rumahtangga anda juga sudah pastinya mungkin terjejas. Untuk mewujudkan rasa bahagia melalui perkahwinan, anda perlu ada komunikasi yang baik dengan pasangan anda. Melalui komunikasi, anda tahu apa yang pasangan anda mahu dan apa yang dia tidak mahu. Kenali pasti bentuk komunikasi anda berdua seiringan dengan topik yang dibincangkan dalam setiap perkara. Melalui komunikasi juga perlu adanya sifat saling bertolak ansur. Apabila wujudnya perdebatan dalam komunikasi pastikan emosi tidak menguasai diri dan jadikan kesabaran sebagai pengukur dalam komunikasi kerana jika berlakunya komunikasi yang hambar sudah pastinya ia akan memburukkan lagi hubungan rumahtangga.

Faktor kedua ; Adakah anda mempunyai persamaan ?

Lagi banyak persamaan dengan pasangan anda, lagi bahagia rumahtangga anda akan terbina. Ini adalah konsep yang mudah diaplikasikan. Namun, jika tidak banyak persamaan dalam ciri diri masing-masing, anda jangan mudah berputus asa pula. Sebaliknya anda harus sentiasa bersedia untuk menerima perkara yang disukakannya dan dan secara tidak langsung tindakan anda akan memberikan impak kepada dirinya bahawa dia amat dihargai. Lambat laun, keserasian akan wujud walaupun ia mungkin mengambil masa yang lama,bersabar adalah kunci kejayaannya. Untuk dapatkan persefahaman yang jelas dengan pasangan anda, anda boleh latih diri dengan melakukan perkasa bersama secara sepontan setiap masa dalam aktiviti rumahtangga.

Faktor ketiga : Tarikan fizikal

Anda akan tertarik pada pasangan anda melalui hati dan fizikalnya. Jika anda mantapkan fizikal anda, sudah tentu anda berdua akan lebih bahagia. Memang benar kebahagiaan wujud dari dalam hati dan perasaan. Namun rupa bentuk fizikal yang dijaga dan dihargai akan memberikan gambaran yang baik pada diri pasangan anda dan akan lebih membuatkannya mencintai diri anda. Kajian juga mendapati, penampilan yang bersih dan segar pada diri akan mempengaruhi ‘mood’ pasangan untuk mendekati anda. Oleh itu, walaupun anda sudah lanjut usia, usah mengabaikan tanggunjawab ini kerana ia akan mempengaruhi kehidupan rumahtangga anda berdua.

Faktor keempat: Komitmen

Komitmen secara langsung tidak menampakkan anda bahagia tetapi memastikan anda berdua terus bersama. Jika anda berdua komitmen dengan perkahwinan anda, anda berdua akan terus bersama dan itulah kebahagiaan bagi diri anda berdua. Jangan berasa malas dan lesu untuk memberi komitmen kerana ia akan mempengaruhi rumahtangga anda berdua. Hati manusia mudah terasa dan sensitif dan pengukur tahap komitmen anda pasti dapat dikenalpasti oleh pasangan rumahtangga kerana naluri manusia memang wujud seperti itu. Oleh itu, jangan anda mudah lupa untuk memberikan momentum komitmen yang berterusan kerana ia akan mempengaruhi rumahtangga anda berdua.

Jelas sekali, perkara yang mudah jika dilakukan secara berterusan dan konsisten akan menampakkan hasil yang positif. Kebahagiaan hanya akan boleh dicapai jika anda berdua berkerjasama dan melakukannya seiringan dengan persefahaman.

No comments: