12 November 2009

Tenggelamnya kapal van der wijck

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck merupakan sebuah karya tersohor oleh Prof Dr. Hamka. Ianya adalah kisah cinta seorang pemuda kampung miskin yang tidak punya saudara bernama Zainuddin terhadap seorang gadis dari keluarga ternama bernama Hayati. Cinta mereka tidak mendapat restu keluarga Hayati. Pinangan Zainudin ditolak. Hayati dijodohkan dengan pemuda pilihan keluarga bernama Aziz yang dikatakan lebih layak mendampingi Hayati.

Cerita ini berkisar tentang semangat juang Zainuddin, bagaimana merana dan melaratnya hidup Zainuddin setelah cintanya ditolak oleh keluarga Hayati. Kemudian beliau bangun semula dari segala kedukaan, membuka lembaran baru dalam hidupnya menjadi seorang penulis yang ternama dan berjaya. Ia menceritakan tentang kesetiaan, cinta dan kasihnya Zainuddin terhadap Hayati. Meski Hayati sudah berkahwin tetapi sebaik mendapat tahu tentang kesusahan yang dihadapi Hayati, lantaran suaminya yang suka berpoya-poya serta tidak bertanggung-jawab, Zainuddin terus membantu tanpa ada dendam dan benci. Sesungguhnya cinta yang suci itu akan terus mekar di dalam hati hingga ke hujung nyawa begitulah jua cinta antara Zainuddin dan Hayati.

Cerita cinta ini disampaikan kepada pembaca melalui surat-surat yang ditulis oleh Zainuddin dan Hayati. Membaca surat-surat ini akan membawa kita terbang jauh ke dasar hati mereka. Sebuah cerita yang menyayat hati. Berkisar tentang pangkat dan darjat. Antara kekuatan jiwa, keimanan dan tuntutan nafsu.

Prof. Dr. Hamka menulis buku ini ketika beliau berusia 31 tahun ketika darah masih muda, khayalan dan sentimen masih memenuhi jiwanya dan beliau dikritik hebat kerana ia adalah sebuah buku cinta sedangkan pada zaman itu buku yang sebegini tidak pernah diterbitkan. Tetapi setelah sepuluh tahun berlalu, masyarakat mulai faham akan perlunya kesenian dan keindahan dalam hidup manusia.

walaupun beliau menulis tentang cinta, tetapi tidak lupa juga diselitkan tentang agama. malah, tidak ada yang lebih indah selain cinta yang berpaksikan agama dan bertunjangkan redha Tuhan.

Kata-kata indah dalam novel ini...

[ ketahuilah bahawa Allah yang menjadikan matahari dan memberinya cahaya. Allah yang menjadikan bunga dan memberinya wangi. Allah yang menjadikan tubuh dan memberinya nyawa. Allah yang menjadikan mata dan memberinya penglihatan. maka Allah pula lah yang menjadikan hati dan memberinya cinta. maka, marilah kita pelihara dan pupuk nikmat cinta ini sebaik-baiknya supaya jangan dicabut Tuhan kembali. - kata Zainuddin kepada Hayati]

Surat daripada Zainuddin kepada Hayati;
Lebih seratus kali namamu ku sebut dalam sehari. Kadang-kadang saya terpanggil dalam nyanyianku, kadang-kadang dalam ratapku. Kicut pintu ditolak angin, terasa langkah kau yang terdengar. Masih juga belum percaya, kau telah membuang saya dari ingatanmu. Saya tanyai diri saya, apakah saya berdosa kepadamu? Tidak rasanya, bahkan dosa yang lain yang kerap saya perbuat untuk mencukupkan cintaku kepadamu
.

Surat Kahdijah (sahabat Hayati ) kepada Hayati
Cinta tidaklah teguh untuk mempertalikan laki isteri. Tali yang teguh adalah kemaslahatan kedua belah pihak. Cinta adalah bunga melur yang indah warna dan harum baunya dua hari genap ketiga selama air masih cukup dalam jambangan, selama tiga hari itu pula subur dan indahlah hidupnya. Yang selalu akan mengancam akan kesuburannya ialah kemiskinan. Kalau harta cukup cinta menjadi kalau harta tiada pergaulan terancam. Cinta atau rindu, dendam kasih sayang atau asyik maksyuk biarlah tinggal dalam khayal dari angan-angan pengarang hikayat.


1 comment:

3yearshousewife said...

Selalu dengar tajuk buku nih tapi tak pernah pun baca.